Pokok Sena : Sejarah Bandar dan Daerah serta Grafik Pokok Sena, Kedah

Asal-Usul Nama

Pokok Sena ialah sejenis pokok yang dikenali juga sebagai angsana (Pterocarpus indicus) banyak terdapat di tepi sungai. Nama Pokok Sena adalah hasil interaksi penduduk di sini dengan pokok sena.

Sejarah Pembukaan Daerah Pokok Sena

Dahulunya Pokok Sena ini terletak dalam daerah Kota Setar namun telah dijadikan daerah baru iaitu Daerah Pokok Sena dan masih ladi ditadbir oleh Majlis Bandaraya Alor Setar. Keputusan mewujudkan daerah berkenaan bertujuan mengurangkan sedikit keluasan daerah Kota Setar yang terlalu besar merangkumi tiga kawasan Parlimen iaitu Kuala Kedah, Kota Setar dan Pokok Sena.

Justeru, pengisytiharan sebagai daerah baru akan membantu melicinkan lagi pengurusan berkaitan pihak berkuasa tempatan selain memberi kesan mendalam terhadap gerak kehidupan harian masyarakat setempat. Pembinaan projek-projek infrastruktur yang merentasi daerah berkenaan dijangka merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di situ.

Bagaimanapun, sebagai sebuah daerah baru, Pokok Sena masih berdepan banyak cabaran sebelum dapat mengecapi pembangunan yang seimbang dengan daerah-daerah lain di negeri ini. Projek menaik taraf jalan raya Persekutuan dari Alor Setar ke Durian Burung yang sedang dilaksanakan merupakan antara pemangkin pembangunan daerah Pokok Sena. Daerah ini akan mencapai kemajuan dan kesejahteraannya setanding dengan daerah-daerah lain.

Secara umumnya, Pokok Sena merupakan daerah pertanian dengan melibatkan aktiviti utama iaitu penanaman padi dengan keluasan 2,816 hektar, getah (9,883 hektar), dusun (416 hektar) dan koko (2.5 hektar). Terdapat kira-kira 12 premis pelbagai jenis perusahaan ringan atau industri kecil khususnya yang berasaskan kayu dan memproses padi di daerah yang mendapat nama sempena nama tumbuhan 'Pokok Sena' itu.

Daerah Pokok Sena sebagai sebuah daerah terbaru Negeri Kedah, kini sedang mengalami fasa pembangunan yang mencabar. Peningkatan drastik penduduk dan pertumbuhan perbandaran yang pesat, bakal merobah senario pembangunan daerah serta mampu mencipta permasalahan sosio, ekonomi dan politik yang mencabar. Justeru, Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena yang berfungsi sebagai back-bone mekanisma pentadbiran peringkat daerah, harus bersedia dan mampu menangani cabaran perubahan yang sedang dan akan berlaku.

Grafik

Daerah Pokok Sena berada di sebelah utaranya ialah daerah Kubang Pasu, di sebelah barat daerah Kota Star, di sebelah selatan Daerah Pendang dan di sebelah timurnya ialah daerah Padang Terap.

Pekan Pokok Sena adalah pusat bandar bagi daerah Pokok Sena terletak kira-kira 19 KM di timur laut Alor Star. Lokasinya adalah dipersimpangan jalan yang menghala Ke Kuala Nerang di sebelah utara dan ke Naka di timur. Pekan Pokok Sena terletak di luar rancangan MADA.